Saturday 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 7

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 7

Maka pada keesokan harinya, Datuk Kadir bersama Dayang Anum telah bersedia untuk naik ke tebingan kampung Hulu Saribas itu. Diperintahkan beberapa orang tinggal dalam Sekonyer untuk menjaga Sekonyer sepanjang masa Datuk Kadir berada di perkampungan Hulu Saribas. Penghulu, Datuk Kedit hi  bersedia menanti di atas jeti yang telah disiapkan khas untuk Datuk Kadir serta rombongan. Jeti tersebut disiapkan oleh penduduk kampung petang semalam atas arahan Datuk Kedit. Bersampanlah Datuk Kadir menuju jeti,  sampai sahaja Datuk Kadir di jeti, segera dipimpim Datuk Kadir oleh Datuk Kedit, sementara Dayang Anum dipimpim pula isteri Datuk Kedit, Mayang Ulu.

Berjalanlah kesemua rombongan itu menuju teratak Datuk Kedit di pertengahan kampung. Sepanjang jalan menuju ke teratak Datuk Kedit, jalan dihiasi gada-gada pelbagai warna. Semua penduduk kampung berbaris sepanjang jalan itu. Dalam perjalanan itu, Datuk Kadir sentiasa berjabat tangan dengan penduduk kampung.  Setelah sampai ke teratak Datuk Kedit, segeralah Datuk Kedit mempersilakan Datuk Kadir suami isteri duduk di tempat yang telah disediakan khas. Selepas duduk dengan segera Datuk Kedit memerintah Imam kampung membaca doa,  tanda kesyukuran pada tuhan atas kunjungan Datuk Kadir, di hujung doa Pak Imam berbunyi:

   Terima kasih kunjungan ini
   Besarlah harapan kami di sini
   Datuk Kadir berbudi tinggi
   Merendah diri berkunjung ke sini

   Kalau ada pucuk palah
   Boleh ditebang ambil umbutnya
   Kalau ada kami bersalah
    Boleh dirujuk dengan lembutnya

  Datang kami dagang bertempat
  Terkadang jua dagang merantau
  Kandang kami tiada hebat
  Ada kelemahan silalah pantau

  Aminnn....

Selepas itu jamuan pun dihidangkan. Jamuan kampung,

  Pucuk ubi dibuat ulam
  Pucuk paku dibuat sayur
  Masak padi empingan semalam
  Buahan di dusun turut diatur

  Sayur keladi ayam dikari
  Kambing seekor pacak berpanggang
  Hulur jemari pada yang sudi
  Hormat dahulu tetamu yang datang.

Meriahlah suasana ketika itu, seluruh penduduk kampung merasa bertuah atas kunjungan Datuk Kadir.
Dalam pada masa itu, berkata Datuk Kadir kepada Datuk Kedit :

"Aduhai Datuk Kedit, boleh tak buatkan sahaya, teratak yang sederharna besarnya di hujung kampung, tadi masa berjalan suasana di penghujung kampung yang sebelah ulu cukup tenang untuk sahaya suami isteri berehat sepurnama dua", seolah- olah berbisik Datuk Kadir memberi arahan pada Datuk Kedit.

" Boleh Datuk" jawab Datuk Kedit.

Bergegas Datuk Kedit keluar dari majlis jamuan. Dicari dan diperintahkan beberapa orang penduduk kampung. Untuk menunaikan permintaan Datuk Kedit. Selepas itu kembali semula pada majlis jamuan itu.

" Wahai Datuk Kadir, pemerintah Negara Saribas, petang-petang nanti siaplah teratak yang datuk inginkan. Seraya itu biarlah kita berjamu selera dahulu di teratak sahaya ini " Datuk Kedit memberitahu Datuk Kadir.

Bergembiralah mereka sepanjang hari menunggu, teratak kediaman Datuk Kadir suami isteri siap dibuat.

Kira-kira bahuru tergelincir matahari di kepala, datanglah salah seorang penduduk kampung yang diarah Datuk Kedit pagi tadi,  beliau terus menghampiri Datuk Kedit, dan memberitahu, permintaan Datuk Kadir telah siap sepenuhnya. Tersenyum Datuk Kedit.

"Aduhai datuk, permintaan datuk suami isteri telah siap,  penduduk kampung telah menyiapkan apa yang termampu datuk", Datuk Kedit memberitahu khabar gembira itu.

" Baliklah sekarang kita berangkat, takut lambat tiada sempat bersiang hari lagi nanti " Datuk Kadir membuat desakan .

Bila terdengar arahan itu, Datuk Kedit segera mengarahkan dan membuat pesanan.

"Wahai penduduk kampung Hulu Saribas sekeliannya, di sini sahaya berpesan dan ingin beringat sesama kita,  sekejap lagi, Datuk Kadir pemerintah Negara Saribas, dan isterinya Permaisuri Dayang Anum, akan berada di teratak khas di penghujung perkampungan Hulu Saribas ini,. Jangan beliau diganggu akan ketenteramannya, sebaliknya, kita harus menjaga keselamatannya, janganlah sesekali pergi ke kawasan teratak itu dalam lingkungan sepelaung pun, kecuali pengawal yang telah dikhaskan."  Cukup panjang penerangan Datuk Kedit dan seluruh yang hadir menggetahui. Tinggallah Datuk Kadir dengan isterinya di situ.

Maka berangkatlah mereka ke teratak penghujung kampung di sebelah ulu.
Hanya diiringi Datuk Kedit beberapa orang dayang dan beberapa orang pengawal yang dipilih.

Arakian, sampailah ke teratak itu,

Bertiang nibong berlantai buluh
Bebelit rotan semambu beraut
Dalam pandangan cukup teguh
Indah buatan hati terpaut

Sebelahnya pula kolam berair
Terjun sedikit air mengalir
Tanda harapan jelas dipamir
Mencedok tangan air di cangkir

Keliling berdiri bebatang buluh
Belakang terdapat kecilnya bukit
Tuah ternampak bagai bersuluh
Hati lapang tiada sakit

Selepas sampai ke teratak itu, Datuk Kedit pun minta diri. Maka tinggalah Datuk Kadir suami isteri dengan beberapa orang dayang dan pengawal sahaja di situ. Datuk Kadir memerintahkan agar pengawal sepelaung jauh dari teratak itu.

Nukilan Daud Ahmad

No comments: