Tuesday 12 December 2017

SEJARAH DAN ASAL USUL KERAJAAN SARIBAS

SEJARAH DAN ASAL USUL KERAJAAN SARIBAS

Kerajaan Negeri Saribas tidak mempunyai hubungkait dengan Datu Merpati Jepang tetapi Kerajaan Negeri Saribas adalah kerajaan negeri yang berkait secara langsung dengan Datu Godam dan Pengiran Temenggung Datu Abdul Kadir seorang pembesar daripada Kesultanan Brunei suatu waktu dahulu.

Kerajaan Negeri Saribas sebenarnya berkongsi muara Batang Saribas dengan ibu kota Kerajaan Negeri Kalaka yang diperintah oleh 2 orang ratu bersaudara iaitu Dayang Hubu dan Dayang Ruku. Kerajaan Negeri Saribas jajahan takluknya adalah lebih besar daripada Kerajaan Negeri Kalaka iaitu ianya mencakupi pertemuan Batang Saribas dengan Sungai Rimbas di sebelah. Pusat ibukota Kerajaan Negeri Saribas adalah Tandang Sari atau pada masa sekarang digelar Pusa. Di dalam manuskrip lama dinyatakan bahawa Kerajaan Negeri Saribas ini wujud sekitar abad ke-17 lagi. Kerajaan Negeri Saribas ini dinyatakan bahawa ianya diperintah oleh seorang pembesar Kesultanan Brunei iaitu Pengiran Temenggong Datu Abdul Kadir. Dikatakan Pengiran Temenggung ini telah membawa diri daripada Brunei memandangkan anak tunggalnya Dang Chi’ atau Dayang Esah telah diambil oleh Sultan Brunei untuk menjadi isteri yang ke-3. Sewaktu beliau menjadi pemerintah Saribas beliau telah bertemu dengan seorang putera dari Pagaruyung, Minangkabau iaitu Dato Gudam atau Raja Umar yang menyamar sebagai saudagar penjual kain.

Dato Gudam merupakan putera kepada Bendahara Harun, pembesar di Pagaruyung. Ketibaannya ke Saribas adalah kerana membawa hati yang kecewa setelah ditidakkan hak untuk menggantikan ayahandanya kerana dikatakan bukan bangsa Minang sejati kerana ibunya adalah berketurunan Belanda. Setelah mengenali Pengiran Temenggong, beliau telah bersetuju untuk membantu Pengiran Temenggong mengambil anaknya semula daripada menjadi isteri ketiga kepada Sultan Brunei pada masa itu. Sopan santun dan kepintaran Dato Godam telah memikat hati Sultan Brunei sehingga beliau menjadi orang penting di Brunei dan dikahwinkah oleh Sultan Brunei dengan Dayang Esah atas permintaan Dato Godam sendiri. Sebelum beliau berangkat pulang ke Pagaruyung atas permintaan ayahandanya, Sultan Brunei telah meminta beliau meninggalkan salah seorang anaknya di Brunei maka ditinggalkannya Datu Mantri anak keduanya dan disinilah permulaannya asal-keturunan. “Awang Damit-damit” iaitu asal keturunan Awang dan Dayang di dalam masyarakat Melayu Sarawak. Kepulangan Dato Godam yang singgah sebentar di Saribas telah memberi perkhabaran gembira kepada Pengiran Dato Temenggung Abdul Kadir yang akhirnya mangkat dan Dato Godam menjadi pengganti pemerintah kepada Kerajaan Negeri Saribas. Anak sulungnya Dato Uban pula telah menggantikan beliau dengan mewarisi nama Abang dan Dayang di dalam salsilah keturunannya. Dan disinilah bermulanya asal-keturunan Melayu Sarawak yang menggunapakai nama Abang dan Dayang. Di dalam Kerajaan Negeri Saribas inilah gelaran jawatan seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu Hakim bermula iaitu mengikut acuan jawatan dan gelaran bagi Kesultanan Brunei pada zaman itu. Dan kerana itulah banyak jawatan gelaran di dalam pemimpin masyarakat Melayu Sarawak masih lagi menggunakan Datu Patinggi, Datu Bandar sehinggalah sekarang.

Kewujudan Dato Gudam ini dapat disahihkan dalam beberapa segi seperti wujudnya sebuah makam lama di Pusa yang masih menjadi tanda sejarah untuk Kerajaan Negeri Saribas. Makam Dato Gudam adalah hanya selang beberapa meter daripada Makam Pengiran Temenggung Abdul Kadir dan juga Dayang Esah. Selain itu asal keturunan Dato Godam dari Pagaruyung pula boleh disahihkan dengan kewujudan sebuah tempat bernama Gudam di Tanah Datar Minangkabau dimana istana kerajaan Pagaruyung yang pertama adalah Gudam disamping di dalam bahasa Sanskrit GUDAM itu sendiri bermaksud Istana. Di dalam jurnal pengembaraan Stamford Raffles juga ada tercatit lawatan beliau ke Gudam bagi menemui Raja Pagaruyung pada tahun 1818 iaitu setahun sebelum beliau mengambil alih Singapura sebagai jajahan Koloni British.

Umum mengetahui bahawa Rajah Pertama Sarawak iaitu Rajah James Brooke adalah seorang pengembara yang sudah mengembara di seluruh pelusuk Sarawak sebelum dia mula membantu Raja Muda Hashim di dalam pemberontakan tempatan sewaktu Sarawak menjadi tanah kuripan pembesar Kesultanan Brunei. Di dalam jurnal pengembaraannya ada tercatit bahawa beliau telah singgah di sebuah negeri di dalam kawasan Sungai Saribas yang mempunyai banyak persamaan dengan jawatan pembesar di Brunei dan beliau berkesempatan berkenalan dengan seorang Aulaksamana Saribas yang berusia 90 tahun.

Walaupun tiada artifak-artifak purba yang boleh mengaitkan bahawa ada Kerajaan Negeri Saribas bertindak sebagai pelabuhan yang memungkinkan ianya menjadi persinggahan saudagar dari Negara Tembok Besar China seperti kerajaan negeri yang lain tetapi sumber rujukan seperti manuskrip kuno Tarsilah Syair Saribas telah membuktikan kewujudan sebuah kerajaan di Saribas dan ditambah lagi dengan jurnal pengembaraan daripada Rajah Sarawak sendiri maka dengan ini memang sukar untuk dinafikan bahawa KERAJAAN NEGERI SARIBAS adalah THE LOST KINGDOM OF SARAWAK pada suatu waktu dahulu.

Sumber
www.sarawakoracle.blogspot.my

No comments: