Thursday, 14 December 2017

ASAL USUL NAMA KAMPUNG BELADIN

ASAL USUL NAMA KAMPUNG BELADIN

Terdapat pelbagai versi yang mensuratkan bagaimana Kampung Beladin mendapat namanya.Tambahan pula admin hanya mendapat sumber rujukan yang berdasar lisan atau cerita orang orang tua.Selain itu,admin juga belum menemui rujukan atau dokumen sejarah mensuratkan tentang sejarah asal usul Kampung Beladin yang merupakan salah satu kampung dalam di dalam pemerintahan Kerajaan Saribas pada suatu ketika dahulu.

Namun begitu, saya akan kongsikan kedua dua versi kongsikan kedua-dua versi asal usul nama Kampung Beladin sehingga kita menemui dokumen yang boleh dijadikan rujukan.

VERSI PERTAMA
( CERITA BUAH BELADIN )

Nama Kampung Beladin adalah diambil bersempena dengan sejenis buah yang dinamakan  Beladin.

Buah beladin pada masa dulu terdapat di salah satu tanjung di Hilir Kampung Pusa ( Tanjung Mark ) di mana lokasi kampung Beladin sekarang adalah tempat penduduk dari kawasan berdekatan untuk menanam padi (berumo).

Setelah mereka mendapat tahu yang tanah itu subur untuk bercucuk tanam, mereka bercadang hendak mendiami tempat tersebut. Namun untuk sampai ke tanah tersebut, mereka perlu melalui sebatang sungai. Tetapi sungai tersebut berbeza dengan sungai-sungai yang lain. Sungai ini lain kerana di sepanjang sungai ini terdapat banyak buah beladin. Dalam air sungai, dalam tanah, atas tanah, semua dipenuhi dengan buah beladin.

Mereka terus menamakan tempat tersebut sebagai kampung Beladin sehingga kini.

Sekarang, amat payah bagi generasi baru untuk melihat sendiri pokok beladin ini. Ia sudah pupus dan terdapat beberapa batang pokok sahaja yang hidup di kampung Beladin pada masa ini.

Sumber
http://beladin.pi1m.my

VERSI KEDUA
( LAGENDA PISAU / LADIN SAKTI )

Alkisahnya suatu waktu dahulu, Beladin merupakan antara salah satu jajahan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei.  Pada waktu itu untuk kawasan Beladin dan Pusa dijaga oleh seorang pembesar lantikan Brunei.  Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari telah datang sebuah kapal seorang saudagar berlabuh di kawasan berhampiran dengan perkampungan Melayu yang tidak bernama itu.  Turut dikatakan keberadaan saudagar itu adalah untuk berteduh beberapa hari dari keadaan laut yang bergelora.   

Kedatangan saudagar itu disambut baik oleh Ketua Kampung maka diadakan satu jamuan untuk meraikannya. Begitulah adat orang dulu-dulu untuk mengeratkan hubungan antara mereka.  Dari perbualan maka Ketua Kampung mengetahui bahawa saudagar itu cuma mencari tempat berteduh sementara menunggu laut tenang kembali. 

Dan setelah beberapa ketika akhirnya tibalah masa untuk saudagar berserta anak kapalnya memulakan pelayaran ke destinasi seterusnya.  Sebagai tanda persahabatan sebelum saudagar itu memulakan pelayarannya, maka dihadiahkan sebilah pisau atau ladin di dalam bahasa Melayu Sarawak kepadanya.  Ditinggalnya pesan kepada saudagar bahawa sekiranya beliau di dalam kesusahan iaitu terpaksa menghadapi cuaca yang buruk di lautan, saudagar itu harus membuang ladin atau pisau itu ke dalam laut luas.  Nescaya tiada yang buruk akan berlaku ke atas beliau dan kapalnya. 

Hendak dijadikan cerita di ketika di dalam perlayaran ke destinasi seterusnya iaitu beberapa hari kemudian, dikatakan kapal saudagar terpaksa menempuhi perjalanan yang beronak berduri.  Cuaca buruk di laut hampir sahaja menenggelamkan kapalnya sehinggalah satu ketika si saudagar teringat akan pesan Ketua Kampung itu lantas membuang ladin yang diberi ke dalam laut. 

Dengan tidak semena-mena laut yang mengganas boleh reda dan ini menyebabkan si saudagar merasa sungguh terhutang budi dengan jasa Ketua Kampung.  Disebabkan hal itu juga menyebabkan beliau tidak jadi belayar sebaliknya mudik ke kampung di muara Sungai Saribas. 

Berita mengenai Ladin sakti itu tersebar luas di seluruh pelusuk kampung yang mana akhirnya kampung yang tidak bernama itu dinamakan Beladin oleh masyarakatnya

Sumber
Page Fb Borneo Oracle.

Kedua-dua versi asal usul nama Kampung Beladin adalah dari sumber yang belainan yang bukan dari dokumen sejarah yang diperakui atau melalui cerita orang tua.Namun sekiranya terdapat sumber - sumber yang lebih sahih.Admin terbuka untuk menerima pembetulan supaya kita sama sama mendapat informasi dan perkongsian yang lebih tepat.

Sekian,terima kasih.

I LOVE PUSA
www.ilovepusa.blogspot.my

KENANGAN KEGIATAN DI SUNGAI RIMBAS

KENANGAN KEGIATAN DI SUNGAI RIMBAS

Dolok,
Sungei tuk meriah dgn perauk Tambang dan bot laju..
Tapi hari tuk,
Semo dah tinggai kenangan
Kenangan yo tetap terpahat dalam ingatan kita semo sampei bilo-bilo
Sik ado agik kesibukan di Sungei..
Sik ado agik perauk tambang..
Sik ado agik bot merapat di tebingan..
Sik ado agik nangga orang melambei mintak gaik di pengkalan.
Kenangan tuk akan kita simpan untuk di cerito ngn anak cucuk kito kelak.-Keperawi Awie
#bottambangbeladinpusak

Di sebalik ketenangan air nya,
Tersimpan seribu memori suka duka Penduduk Kampung Pusa - Zainuddin Pindah

Teringat pasar pusa lama dulok.
Bekayuh dari sungai undey.
Lum ado jalan rayo dulok.- Bandir Mengeris Bandir

I LOVE PUSA
www.ilovepusa.blogspot.my

Wednesday, 13 December 2017

ASAL USUL NAMA KAMPUNG PUSA

ASAL USUL NAMA KAMPUNG PUSA

Menurut cerita orang tua-tua, suatu ketika dahulu terdapat sebuah kawasan kebun kecil yang didiami oleh sekumpulan petani dan dikenali sebagai 'Kebun Putat'.

Malangnya, kawasan ini selalu dilanda oleh ombak sehingga mereka meneroka kawasan baru untuk dijadikan perkampungan.

Pada suatu pagi, ketika bergotong-royong membersihkan kawasan baru itu, mereka telah terserempak dengan seekor 'kucing hitam'.

Akhirnya, timbul cadangan untuk menggelarkan nama kampung baru itu sebagai 'Kampung Pusa' (kucing) atau "Pusak" mengikut sebutan Saribas yang kekal sehingga kini.

Kini, Kampung Pusa telah menjadi sebuah pusat daerah kepada Daerah Pusa yang juga dimahsyurkan sebagai pusat Kerajaan Saribas pada masa dulu merujuk kepada sejarahnya.

Sumber
http://www.sarawak.com.my

KISAH LAGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI

KISAH LAGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI

Kisah berlaku sebelum kewujudan Dinasti Brooke di sebuah negeri Saribas yang terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei. Pusat pemerintahan Saribas terletak di Tandang Sari atau pada hari ini dikenali sebagai Pusa. Sebagai pemeritah yang amat dikasihi rakyat, Datuk Temenggong Kadir mewakili kerajaan Brunei  memerintah dengan adil dan saksama. 

Dikisahkan Datuk Temenggong Kadir telah 7 tahun berkahwin dengan Dayang Siti Hajar namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Hidup mereka bahagia namun kesunyian. Mereka berdua sentiasa berharap agar doa mereka dimakbulkan untuk mempunyai anak suatu hari kelak.

Pada malam tersebut setelah selesai solat, Temenggung Kadir terus tidur dan bermimpi. Dalam mimpinya beliau telah mendengar suara yang berkata:“Wahai Temenggong Kadir, aku kesian melihat kamu tidak henti-henti berdoa ingin mempunyai zuriat. Aku ingin menolong kalian berdua. Tapi kamu ikut apa yang aku suruh. Esok pergilah ke hulu Sungai Tandang Sari. Di sana nanti ada serumpun buluh betong. Potonglah buluh tersebut dan di dalamnya terdapat sebiji telur dan ambil telur tersebut dan simpan baik-baik”.

Selesai mendengar suara itu, Datuk Temenggong Kadir terus terjaga dari tidurnya dan tidak dapat melelapkan matanya lagi. Fikirannya berkecamuk memikirkan tentang suara tersebut. Adakah ia benar atau mainan tidur? Datuk Temenggong Kadir terus mengejutkan isteri dan menceritakan mimpi yang telah beliau alami. Isterinya merasa amat terkejut dan berharap agar suaminya menuruti mimpi tersebut.  

Keesokannya Datuk Temenggong Kadir terus ke tempat yang dimaksudkan seorang diri dengan menaiki perahunya dan berbekalkan Pedang saktinya "Gempetar Alam". Dalam perjalanan, matanya melilau-lilau melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari buluh tersebut. Akhirnya dia menjumpai serumpun buluh betong. Dengan hati yang berdebar-debar terus mengikat perahunya ke tebing sungai dan naik ke darat.

Dengan perasaan yang berdebar-debar dan hanya dengan satu tetakan sahaja buluh tersebut telah terpotong. Memang benar apa yang dialaminya di dalam mimpinya malam tadi. Di dalam bulu tersebut ada sebji telur. Tanpa melengahkan masa, dia teus mengambil telur tersebut dan di bawa pulang.

Pada malam itu semasa hendak tidur, telur tersebut diletak di sebelah kiri kepalanya. Tiba-tiba menjelang tengah malam, mereka berdua terkejut dari tidur kerana mendengar suara bayi menangis. Datuk Temenggong Kadir terus bangun dan didapati telur tersebut telah pecah dan ada seorang bayi berhampiran telur tersebut.

Walaupun terkejut dengan kejadian aneh tersebut, mereka berdua merasa amat gembira dan tidak tidur sehingga ke pagi menguruskan bayi yang baru menetas dari telur tersebut. Walaupun tidak diketahui asal usul anak tersebut, mereka berdua bersyukur kerana telah dikurniakan anak perempuan yang dinamakan Dayang Isah.

Masa berlalu begitu pantas, Dayang Isah telah pun membesar dan memiliki rupa paras yang amat cantik. Setiap lelaki yang terpandangnya pasti ingin memilikinya sehingga ada yang sanggup berbunuh sesama sendiri demi untuk memiliki Dayang Isah. Datuk Temenggong Kadir merasa amat kurang senang dengan kejadian sebegini dan mengambil keputusan untuk mengahwinkan anaknya dengan kadar yang segera.

Abang Bunut seorang pemuda yang baik tingkahlakunya dan amat disegani penduduk Tandang Sari. Disebabkan Abang Bunut bekerja di istana Datuk Temenggong Kadir, Dayang Isah dapat mengenalinya lebih rapat. Dari berkenalan sehinggalah berkasih sayang, perhubungan mereka berdua semakin hari semakin rapat. Perhubungan mereka direstui oleh Datuk Temenggong Kadir dan isterinya.

Pada suatu malam Datuk Temenggong Kadir sekali lagi bermimpi mendengar suara yang sama. Suara itu berkata,“Wahai Temenggong Kadir! Dengarlah kata-kataku ini. Dayang Isah kini telah dewasa dan menjadi rebutan jejaka Tandang Sari. Sesiapa yang berhajat untuk memperisterikannya mestilah menyediakan sepuluh kati emas sebagai mas kahwin”

Datuk Temenggong Kadir terbangun dari tidurnya. Beliau merasa amat resah dan bingung. Terkenang dengan Abang Bunut, seorang yang amat beliau senangi dan sangat menyintai Dayang Isah. Sudah semestinya sesuatu yang mustahil untuk Abang Bunut menyediakan sepuluh kati wang emas untuk mas kahwin.

Datuk Temenggong Kadir menceritakan tentang kisah mimpi kepada isterinya keesokannya. Isterinya merasa amat sedih namun terpaksa akur. Dengan perasaan serba salah, mereka berdua menceritakan kepada Abang Bunut dan Dayang Isah. Abang Bunut akur kerana beliau sendiri tahu, untuk menyediakan sepuluh kati emas adalah sesuatu mustahil untuk dirinya.

Diriwayat dalam satu kisah, ada seorang saudagar berbangsa Bugis bernama Nakhoda Khar dalam pelayaran bersama anak buahnya dari Palembang ke negara Brunei singgah sebentar ke Saribas. Disitu beliau mendengar kisah tentang kecantikan Dayang Isah serta kisah sepuluh kati emas.

Tanpa melihat paras rupa Dayang Isah, beliau terus menuju ke Istana Datuk Temenggung dan menyatakan hasratnya. Pada mula Datuk Temenggong Kadir berat untuk menerima lamaran tersebut kerana memikirkan Nakhoda Khar bukan orang tempatan. Namun berliau terpaksa menerima lamaran tersebut kerana memikirkan tentang mimpinya.

Maka berlangsunglah majlis perkahwinan selang beberapa hari selepas majlis pertunangan. Dayang Isah merasa amat sedih mengenangkan kekasih hatinya, Awang Bunut. Begitu juga sebaliknya yang berlaku kepada Awang Bunut.

Setelah sepurnama Dayang Isah bergelar isteri, Nakhoda Khar berhasrat untuk belayar ke Brunei untuk meneruskan perniagaannya. Ketika menghampiri Pulau Burung, beliau teringat tentang kerisnya yang tertinggal. Dengan melabuhkan kapalnya di Pulau Burung, beliau mengayuh sampan menuju semula ke Saribas.

Nakhoda Khar merasa tidak sedap hati ketika dalam perjalanan menuju ke istana setelah mengikat tali perahu di muara Sungai. Cepat-cepat di melangkah. Dari jauh sayup-sayup kedengaran suara isteri bergurau senda dengan Abang Bunut. Dengan perasaan marah, Nakhoda Khar membaca jampi tidur. Maka tertidurlah semua orang di dalam istana tersebut.

Nakhoda Khar mengambil kerisnya lalu dibunuhnya Abang Bunut yang sedang tidur dan terus berkayuh menuju ke kapalnya di Pulau Burung.

Keesokannya seisi istana telah sedar dari tidur. Dayang Isah terkejut melihat Abang Bunut mati dibunuh. Dayang Isah menyedari kerana kecantikannya banyak nyawa telah terkorban.

Di sini ada 3 riwayat menceritakan dalam versi berbeza. Sama ada Dayang Isah mati membunuh diri atau mati dibunuh oleh suaminya iaitu Nakhoda Khar.

1.Riwayat membunuh diri

Dayang Isah mengambil keputusan untuk menikam diri sendiri menggunakan keris tetapi tidak lut. Setelah gagal berbuat demikian maka Dayang Isah mengambil tujuh helai rambutnya yang panjang mengurai lalu diikatnya di leher hingga mati.

2.Riwayat cubaan bunuh oleh Nakhoda Khar

Setelah membunuh Awang Bunut, Nakhoda Khar juga cuba untuk membunuh Dayang Isah namun tidak dapat kerana isterinya tidak lut dengan apa-apa jenis senjata.(Ini pula kejadian pada waktu malam setelah membunuh Abang Bunut dan bila pula Dayang Isah mati?)

3.Riwayat permintaan bunuh dari Dayang Isah 

Kerana tidak sanggup melihat tindakan suaminya yang sangat kejam, Dayang Isah meminta suaminya membunuhnya dengan cara menjerut lehernya dengan tujuh helai rambutnya.(cerita ini nampak bercangkah, kerana sewaktu jampi tidur dibaca, seisi istana telah tidur termasuk Dayang Isah)

Melihat kejadian ini, Datuk Temenggong Kadir merasa amat marah dan tahu ini adalah angkara Nakhoda Khar. Beliau terus mengejar Kapal Nakhoda Khar dengan menaiki perahu bersama Lancang Mayang. Diriwayatkan perahu koleknya bergerak sepantas naga lapar dengan pengayuhnya selebar tiga hasta.

Setibanya di Pulau Burung, kapal Nakhoda Khar masih kelihatan. Dengan menghayunkan pedang sakti Gempetar Alam maka kapal Nakhoda Khar terus terbelah dua. Nakhoda Khar serta semua anak buahnya mati lemas di Pulau Burung.

Setelah itu, jenazah dayang Isah di makamkan oleh Datuk Temenggong Kadir di Tandang Sari, Saribas atau kini dikenali tanah perkuburan Kampung Kalok, Pusa kira-kira 150 kilometer dari Sibu dan 90 kilometer dari Betong.

Sumber
www.ohkitakorangsarawak.blogspot.my

Tuesday, 12 December 2017

SEJARAH DAN ASAL USUL KERAJAAN SARIBAS

SEJARAH DAN ASAL USUL KERAJAAN SARIBAS

Kerajaan Negeri Saribas tidak mempunyai hubungkait dengan Datu Merpati Jepang tetapi Kerajaan Negeri Saribas adalah kerajaan negeri yang berkait secara langsung dengan Datu Godam dan Pengiran Temenggung Datu Abdul Kadir seorang pembesar daripada Kesultanan Brunei suatu waktu dahulu.

Kerajaan Negeri Saribas sebenarnya berkongsi muara Batang Saribas dengan ibu kota Kerajaan Negeri Kalaka yang diperintah oleh 2 orang ratu bersaudara iaitu Dayang Hubu dan Dayang Ruku. Kerajaan Negeri Saribas jajahan takluknya adalah lebih besar daripada Kerajaan Negeri Kalaka iaitu ianya mencakupi pertemuan Batang Saribas dengan Sungai Rimbas di sebelah. Pusat ibukota Kerajaan Negeri Saribas adalah Tandang Sari atau pada masa sekarang digelar Pusa. Di dalam manuskrip lama dinyatakan bahawa Kerajaan Negeri Saribas ini wujud sekitar abad ke-17 lagi. Kerajaan Negeri Saribas ini dinyatakan bahawa ianya diperintah oleh seorang pembesar Kesultanan Brunei iaitu Pengiran Temenggong Datu Abdul Kadir. Dikatakan Pengiran Temenggung ini telah membawa diri daripada Brunei memandangkan anak tunggalnya Dang Chi’ atau Dayang Esah telah diambil oleh Sultan Brunei untuk menjadi isteri yang ke-3. Sewaktu beliau menjadi pemerintah Saribas beliau telah bertemu dengan seorang putera dari Pagaruyung, Minangkabau iaitu Dato Gudam atau Raja Umar yang menyamar sebagai saudagar penjual kain.

Dato Gudam merupakan putera kepada Bendahara Harun, pembesar di Pagaruyung. Ketibaannya ke Saribas adalah kerana membawa hati yang kecewa setelah ditidakkan hak untuk menggantikan ayahandanya kerana dikatakan bukan bangsa Minang sejati kerana ibunya adalah berketurunan Belanda. Setelah mengenali Pengiran Temenggong, beliau telah bersetuju untuk membantu Pengiran Temenggong mengambil anaknya semula daripada menjadi isteri ketiga kepada Sultan Brunei pada masa itu. Sopan santun dan kepintaran Dato Godam telah memikat hati Sultan Brunei sehingga beliau menjadi orang penting di Brunei dan dikahwinkah oleh Sultan Brunei dengan Dayang Esah atas permintaan Dato Godam sendiri. Sebelum beliau berangkat pulang ke Pagaruyung atas permintaan ayahandanya, Sultan Brunei telah meminta beliau meninggalkan salah seorang anaknya di Brunei maka ditinggalkannya Datu Mantri anak keduanya dan disinilah permulaannya asal-keturunan. “Awang Damit-damit” iaitu asal keturunan Awang dan Dayang di dalam masyarakat Melayu Sarawak. Kepulangan Dato Godam yang singgah sebentar di Saribas telah memberi perkhabaran gembira kepada Pengiran Dato Temenggung Abdul Kadir yang akhirnya mangkat dan Dato Godam menjadi pengganti pemerintah kepada Kerajaan Negeri Saribas. Anak sulungnya Dato Uban pula telah menggantikan beliau dengan mewarisi nama Abang dan Dayang di dalam salsilah keturunannya. Dan disinilah bermulanya asal-keturunan Melayu Sarawak yang menggunapakai nama Abang dan Dayang. Di dalam Kerajaan Negeri Saribas inilah gelaran jawatan seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu Hakim bermula iaitu mengikut acuan jawatan dan gelaran bagi Kesultanan Brunei pada zaman itu. Dan kerana itulah banyak jawatan gelaran di dalam pemimpin masyarakat Melayu Sarawak masih lagi menggunakan Datu Patinggi, Datu Bandar sehinggalah sekarang.

Kewujudan Dato Gudam ini dapat disahihkan dalam beberapa segi seperti wujudnya sebuah makam lama di Pusa yang masih menjadi tanda sejarah untuk Kerajaan Negeri Saribas. Makam Dato Gudam adalah hanya selang beberapa meter daripada Makam Pengiran Temenggung Abdul Kadir dan juga Dayang Esah. Selain itu asal keturunan Dato Godam dari Pagaruyung pula boleh disahihkan dengan kewujudan sebuah tempat bernama Gudam di Tanah Datar Minangkabau dimana istana kerajaan Pagaruyung yang pertama adalah Gudam disamping di dalam bahasa Sanskrit GUDAM itu sendiri bermaksud Istana. Di dalam jurnal pengembaraan Stamford Raffles juga ada tercatit lawatan beliau ke Gudam bagi menemui Raja Pagaruyung pada tahun 1818 iaitu setahun sebelum beliau mengambil alih Singapura sebagai jajahan Koloni British.

Umum mengetahui bahawa Rajah Pertama Sarawak iaitu Rajah James Brooke adalah seorang pengembara yang sudah mengembara di seluruh pelusuk Sarawak sebelum dia mula membantu Raja Muda Hashim di dalam pemberontakan tempatan sewaktu Sarawak menjadi tanah kuripan pembesar Kesultanan Brunei. Di dalam jurnal pengembaraannya ada tercatit bahawa beliau telah singgah di sebuah negeri di dalam kawasan Sungai Saribas yang mempunyai banyak persamaan dengan jawatan pembesar di Brunei dan beliau berkesempatan berkenalan dengan seorang Aulaksamana Saribas yang berusia 90 tahun.

Walaupun tiada artifak-artifak purba yang boleh mengaitkan bahawa ada Kerajaan Negeri Saribas bertindak sebagai pelabuhan yang memungkinkan ianya menjadi persinggahan saudagar dari Negara Tembok Besar China seperti kerajaan negeri yang lain tetapi sumber rujukan seperti manuskrip kuno Tarsilah Syair Saribas telah membuktikan kewujudan sebuah kerajaan di Saribas dan ditambah lagi dengan jurnal pengembaraan daripada Rajah Sarawak sendiri maka dengan ini memang sukar untuk dinafikan bahawa KERAJAAN NEGERI SARIBAS adalah THE LOST KINGDOM OF SARAWAK pada suatu waktu dahulu.

Sumber
www.sarawakoracle.blogspot.my