Saturday, 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 2

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 2

Hatta, kisah pada suatu malam bulan menggambang penuh, cukup purnamanya. Sinaran cahaya bulan pada malam itu, ibarat mentari menyinar di waktu pagi. Tak kala Datuk Kadir ingin beradu di bilik peraduan kasih bersama Dayang Anum, isteri tercinta, berkatalah Dayang Anum dengan rasa sedih,

"Aduhai kekanda, sudah hampir sepuluh tahun kita hidup bersama, harta melimpah ruah, negara Saribas dalam sentosa, tapi terasa sia-sia kekanda, kerana kita sebagai Raja dan Permaisuri tidak mempunyai anak lagi" Dayang Anum meluahkan perasaannya.

"Kekanda pun merasa sedih juga adinda, kekanda rasa terlampau banyak kekurangan kepada kita seandainya tidak mempunyai cahaya mata" Datuk Kadir yang cuba melelapkan mata, terpaksa menyahut rintihan Dayang Anum. Dirinya merasa perasaan sedih Dayang Anum harus dipujuk dan dilayan dengan mesra, takut-takut perasaan Dayang Anum bertambah dukanya.
Dayang Anum hanya terdiam membisu.

   Terasa kecewa di dalam hati
    Hamba bergelar seorang isteri
    Takut dituduh tidak melayani
    Kasih tercinta seorang suami

   Hamba rela berkorban nyawa
   Demi mendapat hajat bersama
   Walau apa kuturut jua
   Kurniakan kami cahaya mata

   Andai ada kesilapan diri
   Hamba mohon agar diampuni
   Takdir kuserah pada ilahi
   Sedih hati ku belum diubati.

Mendayu menyusuk kalbu, menambah resah gurindah pada hati Datuk Kadir bila isteri tercinta bergurindam sedemikian. Menyebabkan rasa menggantuk Datuk Kadir hilang. Pejam pelik-pejam pelik mata Datuk Kadir mengenangkan nasib mereka berdua suami isteri belum mempunyai cahaya mata, walaupun sudah hampir sepuluh tahun hidup bersama. Isterinya Dayang Anum sudah lena dalam kesedihan. Datuk Kadir masih belum dapat tidur lagi. Fikirannya berkecamuk dengan hati susah tiada beranak lagi. Datuk Kadir berdoa dalam hatinya, moga suatu hari nanti beliau dikurniakan cahaya mata dari tuhan semesta alam. Datuk Kadir cuba memejamkan mata dalam malam purnama penuh itu.
Namun beliau didatangi mimpi, mimpi antara sedar dan tidur, mimpi bertemu dengan Pak Maulana, seorang yang alim dan warak. Dalam mimpi itu Pak Maulana berkata:

   Wahai Datuk Kadir, hamba tau akan
   Kegusaran hati tuan hamba. Tuan
   hamba ingin mempunyai seorang
   anak.

Itulah kata ucapan Pak Maulana, sambil tersenyum. Pak Maulana, berpesan lagi:

  Datuk Kadir bijak bistari
  Takkan kecewa bersarang di hati
  Jangan diikut merana diri
  Nanti Saribas turut dicemari

  Dalam ria ada dukanya
  Dalam senyum ada sedihnya
  Dalam sakit ada ubatnya
  Dalam susah ada cara nya.

  "Mudiklah tuan hamba Datuk Kadir ke hulu sungai Saribas, untuk mengubat hati yang gundah itu. Di sana nanti, tuan hamba akan bertemu dengan penawarnya"

Itulah pesan Pak Maulana dalam mimpi Datuk Kadir. Datuk Kadir terus terjaga dari mimpinya. Beliau terus berfikir, apakah alamat mimpinya itu.
Ayam telah berkokok panjang menandakan kesiangan sudah menghampiri. Datuk Kadir terus bangkit dari pembaringan dan membuka tingkap bilik peraduan kasih itu. Di situ, Datuk Kadir bermenung panjang, hingga munculnya mentari pagi.

Nukilan : Daud Ahmad

No comments: