Saturday, 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 1

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI

Nukilan Daud Ahmad


BAB 1

Gurindam dayang isah tandang sari
(Syair dalam nada sedih)

Inilah kisah..., cerita orang tua
Kisah berlaku dahulu masa...
Sebuah tempat... Saribas bernegara
Ditadbir oleh seorang raja..
Gagah perkasa memang panglima
Datuk Kadir diberi nama....

Bijak bistari dalam pentadbiran
Negara makmur sentiasa aman
Rakyat sejahtera hidup bertaulan
Miskin dan kaya tiada perbezaan
Dalam pergaulan ada kemesraan
Seolah hidup tiada penderitaan

Negara Saribas cukup dikenali
Di pelusuk rantau nusantara ini
Tempat berdagang setiap hari
Peniaga tetap kunjung dan pergi
Sama membalas rasa dihormati
Bebas berurusan sama diadili.

Al kisahnya, pada zaman dahulu, ada sebuah negara bernama Saribas. Negara ini diperintah oleh seorang raja yang bersama  Datuk Kadir. Tempat dan kedudukan negara Saribas ini cukup strategik dalam menjalankan kegiatan ekonomi berbentuk perniagaan dan pertanian. Negara Saribas terletak di tengah- perlayaran antara dua empayar besar. Di timur Empayar Berunai Darussalam, sementara di baratnya pula, Empayar Sambas jajahan Sri Wijaya di tanah besar Jawa.  Ibu negara Saribas  berkedudukan antara dua cabang anak sungai, iaitu sungai Layar dan sungai Rimbas, manakala sungai besarnya dikenali sebagai Batang Saribas. Bersempenaan dengan nama sungai inilah negara Saribas dikenali. Ibu negara Saribas terletak  persimpangan cabang Sungai Saribas di sebelah kiri mudik ke hulu. Tempatnya bersama Sri Kadap,  di sinilah segala perkumpulan aktiviti negara Saribas yang masyur itu.
Di Sri Kadap, Datuk Kadir telah membina sebuah Istana sebagai pusat tadbir urusan negara Saribas. Istana ini dikenali Tandang Sari, Datuk Kadir akan berusan di Tandang Sari sepenuh masa.
Sistem pemerintahan Datuk Kadir yang adil telah membuat ramai peniaga dari kedua-dua empayar besar datang berniaga di negara Saribas.

Adapun ceritanya, Datuk Kadir telah beristerikan seorang bangsawan keturunan Empayar Berunai Darussalam.
Datang Anum namanya. Dayang Anum mempunyai wajah yang cantik. Datuk Kadir dalam soal perempuan, biarlah kasih dan sayangnya hanya tumpah untuk Dayang Anum sahaja. Tambahan pula, ayahanda mertuanya, Raja Berunai telah berpesan, agar Datuk Kadir akan jaga puterinya Dayang Anum seperti menatang minyak yang penuh. Andainya Datuk Kadir tidak mengikut kata ayahanda mertuanya mungkin negara Saribas hilang tempat meminta bantuan andainya diserang musuh. Yang sedih dan pilunya, Datuk Kadir dan Dayang Anum belum berzuriat lagi. Sudah merasa cukup lama mereka berdua usaha dan berdoa pada ilahi agar dikurniakan zuriat dari darah dagingnya sendiri.
 
   Cukup terseksa, hati merasa
   Hidup bersama ,terasa lama
   Mengharap muncul cahaya mata
   Dapat hidup bergurau senda

   Aduhai kekanda mari bersama
   Memohon doa pada yang Esa
   Kurniakan kami seorang sahaja
   Siapa muncul diterima jua...

Cukup sedih seloka Dayang Anum., bila Datuk Kadir berehat di bilik peraduan. Istana Tandang Sari sepi tanpa seri bila Dayang Anum bergurindam jiwa.

Nukilan : Daud Ahmad

No comments: