Saturday, 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 12

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 12

Arakiannya, setelah tiga hari dua malam menghilir, kira-kira setanjung nak sampai ke pelabuhan Sri Kadap, Datuk Kadir, mengarahkan agar Sekonyer berlabuh dahulu. Utusan dihantar ke Istana Tandang Sari bahawa mereka akan naik ke Kota Sri Kadap pada pagi besoknya. Maka bersiaplah segala penduduk Sri Kadap atas arahan Datuk Tahih, Istana Tandang Sari dihias dengan pelbagai warna. Gada-gada dipasang di setiap tempat yang agak sesuai. Sepanjang laluan jalan kaki dari pelabuhan sampai ke Istana Tandang Sari, dihampari kain kuning dan merah. Acara sambutan kepulangan Datuk Kadir serta rombongan begitu teliti dipersiap Datuk Tahih. Setelah selesai Datuk Tahih meminta agar semua pembesar negara yang berada di Sri Kadap bersedia untuk berbaris di sepanjang laluan dari pelabuhan Sri Kadap hingga ke Istana Tandang Sari. Raja Negara Saribas, Datuk Kadir telah kembali dari berziarah dari Hulu Saribas harus disambut dengan meriah kepulangannya. Lebih -lebih lagi mereka pulang membawa puterinya Dayang Isah, zuriat Diraja Saribas.

Keesokan harinya, dalam lingkungan sepegalah mentari pagi naik. Sekonyer telah bertambat dengan kemas di pelabuhan Sri Kadap. Datuk Kadir dan rombongan telah bersedia hendak turun. Di pelabuhan dan sepanjang jalan sampai ke Istana Tandang Sari telah berbaris para pembesar negara.  Datuk Kadir pun turun diikuti rombongan, Dayang Anum menggendong Dayang Isah dengan kemas dan tersenyum puas. Sebaik sahaja kaki Datuk Kadir mencecah lantai pelabuhan. Bergemalah laungan:

"Hidup Datuk Kadir, hidup Raja Saribas, bahagia Dayang Isah".

Laungan itu bergema tujuh kali, gemuruh bunyinya, kerana laungan itu dilaungkan seluruh yang hadir ketika itu. Datuk Kadir dan rombongan pun meneruskan perjalanan, beras kuning pun dihambur,
bersama dengan bunga-bungaan yang mewanggi. Paluan kompang dan hadrah pun bersemarak menggiringi perjalanan Datuk Kadir dan rombongan ke Istana Tandang Sari. Dalam paluan kompang bergemalah lagunya:

Raja Saribas telah kembali,
Duduk bertahta di singgahsana
Raja adil yang dirindui
Oleh seluruh rakyat jelata

Cantik sungguh pakaian diraja
  Dalam majlis menghitung adat
Kami teguh raja berjasa
Kami hormat sebagai rakyat

Dayang Anum Raja Permaisuri
Cantik berseri dipandang indah
Gembira sungguh seluruh negeri
Dapat puteri Dayang Isah

Bergembira berhari-hari
Negara aman dalam pegangan
Selamat pulang ke Tandang Sari
Tempat bersemayam Istana sultan.

Tandang Sari berasa sepi
  Kini meriah setiap hari
  Harapan kami tak berziarah lagi
  Sentiasa tenang kami di sini.

Berulang-ulang paluan kompang dan dan nyanyian hadrahnya. Cukup meriah. Kegembiraan Datuk Kadir dapat digambarkan dengan senyuman yang memanjang, sepanjang perjalanan ke Istana Tandang Sari. Dayang Anum cukup bahagia, rasa diri seperti seorang perempuan yang cukup lengkap. Tidak seperti dulu. Sekarang dia dapat membuktikan bahawa beliau seorang permaisuri yang sempurna. Sampailah mereka ke Istana Tandang Sari. Rakyat dibiarkan bersuka ria. Rombongan Datuk Kadir meminta diri untuk berehat.
Meriahlah Kota Sri Kadap sepanjang hari itu.

Nukilan Daud Ahmad

No comments: