Saturday, 6 January 2018

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI - BAB 6

GURINDAM DAYANG ESAH TANDANG SARI
Nukilan Daud Ahmad

Bab 6

Arakiannya, setelah tiga hari belayar, Permaisuri Dayang Anum mula berasa jemu. Hanya seloka dan gurau senda yang ada bersama mereka sahaja jadi gurauan Dayang Anum. Sekonyer akan berhenti mudik tak kala air surut, bila air pasang baharulah Datuk Kadir menyuruh kelasi Sekonyer mendayung semula, beliau tidak mahu kelasinya letih menentang arus bila berdayung. Datuk Kadir jarang masuk ke bilik peraduan, tinggal Dayang Anum bersama para dayang sahaja, Datuk Kadir telah berpesan, tidak sesuai untuk mereka suami isteri berasmaradana dalam perlayaran itu. Dayang Anum dan para dayang sering berseloka:

  Mudik Sekonyer mudik ke hulu
  Mudik bersama harap tuah
  Cantik indah wajah permaisuriku
  Raja Kadir suami bertuah

  Sampan kolek perahu cina
  Sarat membawa buah berangan
  Ada tuah hidup gembira
  Ada impian dalam harapan

  Cincang-cincang kulat di batang
  Cincang bersama buah rambutan
  Petang-petang abang mendatang
  Datang membawa buah harapan

  Dari tanjung berganti tanjung
  Lubok jua tempat berteduh
  Usah hidup berasa sombong
  Usah sombong dibawa bergaduh

Air pasang mudik ke hulu
Air surut sauh dilempar
Salah ampun maaf dahulu
Supaya hidup tak rasa sukar

Baik belayar sampan
Jangan sampai terlanggar rebak
Gurindam ini hanya hiburan
Entah terhibur entah tidak,

Pendek kata setiap hari para dayang berseloka, menghiburkan Dayang Anum, namun Datuk Kadir dan Sekonyer Amanda juga terhibur bahkan kesemua penghuni Sekonyer terhibur menyebabkan pelayaran mudik ke hulu itu tiada merasa jemu. Dayung-dayung para kelasi semakin gagah dan semakin bersemangat. Kadang-kala para kelasi berbalas seloka dengan para dayang. Sesungguhnya pelayaran mudik ke Hulu Saribas itu menimbulkan perasaan gembira Datuk Kadir dan Dayang Anum.
Suasana gembira itu turut dirasai penghuni Sekonyer. Semua kelasi rasa tiada perasaan menyesal untuk mereka berkhidmat pada Datuk Kadir dan Dayang Anum.

Maka genaplah Sekonyer dalam pelayaran mudik itu empat hari. Sekonyer dilabohkan sauhnya oleh Amanda Sekonyer atas arahan Datuk Kadir pada satu lubuk yang ada perkampungan.  Penduduk kampung tersebut dan merasa hairan. Apakah gerangan bahtera sedemikian berada di Hulu Saribas. Maka penghulu pun dipanggil para penduduk kampung dan mengkhabarkan tentang kemunculan sebuah bahtera dan sedang berlabuh di kuala kampung itu. Berkata penghulu kepada penduduk kampung;

"Wahai kalian, jangan cepat melatah, kita tidak tahu siapa yang datang, andai musuh datang tidak mungkin, kerana Maura Saribas ada seorang raja yang cerdik. Menurut firasat sahaya sebagai penghulu, yang datang adalah orang besar dari Sri Kadap, itulah yang terdapat pada gada -gada bahtera yang berlabuh itu" . Penghulu kampung tersenyum memberitahu penduduk kampung.

"Oleh yang demikian, wahai penduduk kampung semua, bersedialah kita untuk menyambut ketibaan mereka itu. Sahaya yakin ini sesuatu yang amat baik dan bertuah pada kita, kerana orang besar dari Kuala Saribas berkunjung ke hulu ini. Sediakan sebuah sampan untuk sahaya meninjau." Penghulu .memberi arahan.

Maka segeralah salah seorang penduduk kampung menyediakan sampan. Bila siap maka berkayuhlah Penghulu ke bahtera itu. Bila sampai ke Sekonyer maka diperintahkan Datuk Kadir menghulur tangga pada pendayung perahu itu. Naiklah Penghulu kampung tersebut. Bila berpijak di atas Sekonyer segeralah dia melutut hormat tak kala melihat lambang kebesaran Negara Saribas jelas penglihatannya berada di tiang induk Sekonyer yang berada di tengah-tengah. Beliau melihat seseorang yang duduk diatas sebuah singgahsana bersama seorang perempuan. Segerah beliau bertanya:

"Aduhai, orang besar Negara Saribas kalian, maafkan sahaya, mrngapa kedatang orang besar kalian tiada dikhabarkan terlebih dahulu ke tempat terpencil di Hulu Saribas ini. Sahaya juga ingin tahu siapakah gerangan orang besar yang datang ini". Dengan hormat dan cermat Penghulu kampung bertanya. Tersenyum gembira Datuk Kadir mendengar kata Penghulu. Beliau terus bangkit dari duduknya.

"Sahaya, Datuk Kadir al marhum Godam. Raja Negara Saribas,  bersama sahaya adalah Permaisuri Negara Saribas, Dayang Anum. Maafkan sahaya andainya ketenangan Hulu Saribas tercemar kerana ketibaan sahaya dan semuanya di atas Sekonyer ini"
Demi mendengar ungkapan sedemikian. Penghulu kampung terus mengangkat tangan terus menyembah seraya berlutut.

"Ampunkan sahaya Raja Saribas. Sahaya adalah Penghulu kampung di tebingan itu, sahaya bergelar Datuk Kedit, maafkan sahaya kerana tiada membuat persediaan yang rapi untuk menyambut ketibaan Raja Saribas, pentadbir Negara Saribas ini.,"  Datuk Kadir segera memegang bahu Penghulu Datuk Kedit , didakapnya mereka berpeluk seketika tanda gembira.

Serentak dengan itu, Sekonyer Amanda melaungkan:

"Hidup Datuk Kadir, hidup Raja Saribas"

Laungan Sekonyer Amanda disahut penghuni Sekonyer serentak, bergemalah laungan tersebut hingga ke tebingan kampung. Bila mendengar laungan tersebut tahulah mereka siapakah yang berada dalam bahtera yang berlabuh itu.
Maka penduduk kampung pun menyahut laungan semangat cintakan hormati raja itu.

Setelah dakapan Datuk Kadir terlerai,

"Baliklah dahulu ke teratak mu Datuk Kedit, besok hari baharulah sahaya suami isteri naik ke tebingan, adapun kedatangan sahaya ini hanyalah kunjungan ziarah sahaja. Sahaya ingin melihat keharmonian negara Saribas di hulu ini" Datuk Kadir bertutur lembut.

"Baliklah aduhai Datuk Kadir pemerintah Negara Saribas, yang dihirmati, sahaya akan membuat persediaan sebaik mungkin atas ketibaan datuk ini"

Datuk Kadir memeluk Datuk Kedit sekali lagi. Mereka berdua berdakapan untuk kedua kalibya dalam satu pertemuan.
Segera Datuk Kedit turun ke  sampan, dalam hatinya terasa gembira atas kunjungan Raja Saribas, ingin membuat upacara yang agak besar atas ketibaan raja mereka. Berdayunglah Datuk Kedit ke tebingan kampung semula.

Nukilan Daud Ahmad

No comments: